Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh - Selamat Datang Di SMA IBNU HAJAR BOARDING SCHOOL - PUTRA - Jl. Bungur II, Harjamukti Cimanggis Depok No.Hp 0896 7811 5102

http://ibnuhajarpersada.com/

http://ibnuhajarpersada.com/

http://ibnuhajarpersada.com/


http://ibnuhajarpersada.com/

http://ibnuhajarpersada.com/

http://ibnuhajarpersada.com/

http://ibnuhajarpersada.com/




https://ihbs.or.id/

Tampilkan postingan dengan label Catatan Peribadi. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Catatan Peribadi. Tampilkan semua postingan

Selasa, 10 November 2009

Isu Zikir Wahhabi: Abaikan Saja, Kita Ikut Mazhab Syafi'e!

Isu Zikir Wahhabi:
Abaikan Saja, Kita Ikut Mazhab Syafi'e!

http://an-nawawi.blogspot.com

Baru-baru ini meledak satu isu berkaitan Fahaman Wahhabi di dada-dada akhbar ekoran penangkapan seorang bekas mufti Negeri Perlis oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang didakwa mendoktrinkan fahaman Wahhabinya kepada masyarakat. Namun, akhirnya dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan.

Walaupun begitu, bukan itu isu yang mahu saya tangkap masuk ke dalam tulisan kali ini. Tetapi lebih kepada kenyataan oleh seorang tokoh lain rentetan dari isu Wahhabi tersebut.

Sebenarnya saya tertarik dengan kenyataan seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Mashitah Ibrahim sebagaimana berikut dinukilkan dari riwayat
Akhbak Berita Harian, 6 November 2009:

Beliau berkata, fahaman itu tidak sesuai kerana di Malaysia berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi boleh mewujudkan perselisihan sesama umat Islam.

Antara perbezaan pendapat yang menimbulkan perselisihan ialah tidak membaca qunut dalam solat subuh, membaca Yaasin pada malam Jumaat, membaca talkin, tidak berwirid selepas solat dan mengadakan tahlil.


Manakala menurut riwayat dari jalur sanad Akhbar Utusan Malaysia:

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jari-jemari saya lebih teruja untuk menikam papan kekunci menoreh sekitar isu Wahhabi tidak berzikir (atau berwirid) setiap selepas solat (merujuk solat fardhu).

Sebagaimana yang disentuh oleh Dato' Dr. Mashitah di atas, pertamanya beliau menyentuh soal perselisihan di dalam agama dari kalangan umat Islam. Sebenarnya, dalam persoalan perbezaan pendapat di dalam agama, ia bukanlah suatu perkara yang asing. Malah ia sebenarnya telah lama disentuh oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemimpin/orang-orang yang berilmu) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisaa', 4: 59)

Apa yang menarik, selain Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan tentang perselisihan melalui ayat tersebut, Allah juga telah menyatakan solusinya apabila berlaku perbezaan pendapat di antara orang-orang yang beriman. Iaitulah dengan kembali merujuk al-Qur'an dan as-Sunnah.

Maka, apabila isu zikir ini timbul. Apa yang mahu saya tekankan adalah, pentingnya kita kembali kepada al-Qur'an dan as-Sunnah.

Abaikan saja isu Wahhabi atau bukan Wahhabi.

Sebagai menghormati Mazhab Kebangsaan kita, Mazhab Syafi'e, berikut saya dahulukan pendapat Imam asy-Syafi'e sendiri berkenaan isu zikir selepas solat ini. Juga sebagai sebuah pengiktirafan bahawa beliau adalah salah seorang ulama besar dalam dunia ilmu yang wajar dijadikan sebagai contoh dan ikutan.

Imam asy-Syafi'e rahimahullah menjelaskan sebagaimana berikut:

وَأَخْتَارُ للامام وَالْمَأْمُومِ أَنْ يَذْكُرَا اللَّهَ بَعْدَ الِانْصِرَافِ من الصَّلَاةِ وَيُخْفِيَانِ الذِّكْرَ إلَّا أَنْ يَكُونَ إمَامًا يَجِبُ أَنْ يُتَعَلَّمَ منه فَيَجْهَرَ حتى يَرَى أَنَّهُ قد تُعُلِّمَ منه ثُمَّ يُسِرُّ فإن اللَّهَ عز وجل يقول {وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِك وَلَا تُخَافِتْ بها} يعنى وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ الدُّعَاءَ وَلَا تَجْهَرْ تَرْفَعْ وَلَا تُخَافِتْ حتى لَا تُسْمِعَ نَفْسَك

Terjemahan: Aku berpendapat bahawa seseorang imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah di setiap kali selesai solat, dan hendaklah mereka merendahkan suara zikirnya, melainkan bagi seseorang imam yang mahu menunjuk-ajar para makmumnya berkenaan zikir, maka dia boleh mengeraskan suara/bacaan zikirnya, sehingga apabila dia telah mengetahui bahawa para makmum telah tahu, maka hendaklah dia kembali merendahkan suara zikirnya, kerana Allah 'Azza wa Jalla berfirman (maksudnya):

وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا

Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya. (Surah al-Israa', 17: 110)

Maksud kata الصلاة (ash-Sholah) wallahu Ta'ala a'lam adalah doa. لا تَجْهَرْ (Laa Tajhar): Janganlah engkau mengangkat suaramu, وَلا تُخَافِتْ (wa laa tukhofit): Janganlah engkau rendahkan sehingga engkau sendiri tidak mendengarnya. (Rujuk: Imam asy-Syafi'e, al-Umm, 1/127)

Perkara ini turut diperkuatkan lagi dengan penjelasan salah seorang ulama besar bermazhab Syafi'e iaitu Imam an-Nawawi rahimahullah:

قال اصحابنا إن الذكر والدعاء بعد الصلاة يستحب أن يسر بهما إلا أن يكون اماما يريد تعليم الناس فيجهر ليتعلموا فإذا تعلموا وكانوا عالمين أسره

Terjemahan: Para ulama dari mazhab Syafi'e (ash-haabunaa), berkata: Zikir dan doa setelah solat, disunnahkan supaya dilakukan dengan merendahkan suara, kecuali apabila dia seorang imam yang hendak membimbing (mengajar) orang lain (para makmum), maka dibolehkan untuk mengeraskan (menguatkan) suaranya, supaya mereka semua dapat belajar darinya, dan apabila diketahui bahawa mereka telah memahami serta sudah tahu (akan zikir-zikirnya), maka hendaklah dia kembali berzikir dengan merendahkan suara. (Rujuk: Imam an-Nawawi, al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, 3/487)

Dari dua perkataan ulama besar ini, kita dapat melihat beberapa titik penting dalam persoalan zikir sebaik selesai solat fardhu:

1 – Mazhab asy-Syafi'e menyatakan bahawa amalan berzikir di setiap kali setelah selesai solat fardhu adalah sunnah (dianjurkan).

2 – Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan dengan secara individu.

3 – Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan, cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya.

4 – Boleh dikeraskan bacaan sekiranya bertujuan untuk mengajar dan memberi bimbingan kepada orang lain yang mahu memperlajarinya.

Demikianlah empat intipati utama yang dapat kita ambil dari perkataan Imam asy-Syafi'e dan Imam an-Nawawi di atas.

Jadi, jika benar kelompok Wahhabi meninggalkan atau menolak amalan berzikir selepas solat fardhu, maka kefahaman ini jelas bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh Imam dari mazhab Syafi'e tadi.

Malah, berzikir setelah solat, ianya adalah bersandarkan kepada hadis-hadis yang sahih. Cukuplah saya bawakan salah satu contoh zikir yang tsabit dari sunnah yang dianjurkan untuk diamalkan. Dari sebuah hadis, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Terjemahan: Sesiapa yang di setiap kali selesai solatnya (solat fardhu), dia menyucikan Allah (berzikir Subhanallah) 33 kali, memuji Allah (mengucapkan al-hamdulillah) 33 kali, dan membesarkan Allah (mengucapkan Allahu Akhbar) 33 kali, yang semuanya menjadi 99 kali kemudian dicukupkan 100 kali dengan Laa ilaaha illallahu wahdahu la syarikalah... maka, Allah akan mengampuni kesalahan-kesalahannya walaupun sebanyak buih di lautan. (Hadis Riwayat Muslim, Bab: Zikir-zikir yang dianjurkan sebaik selesai solat, 3/262, no. 939. Dari hadis Abi Hurairah radhiyallahu 'anhu. Rujuk zikir-zikir seterusnya: Klik Blog Fiqh)

Maka, dengan terang lagi bersuluh dengan bersandarkan kepada hadis Nabi dan perkataan dua ulama besar dari mazhab asy-Syafi'e bahawa berzikir setelah selesai solat fardhu itu hukumnya adalah dianjurkan (sunnah).

Jika benar Wahhabi menolak sunnah berzikir setelah solat fardhu ini (sebagaimana yang dinyatakan oleh Dato' Dr. Mashitah), bermakna mereka (kelompok Wahhabi) telah salah.

Namun, perlu kita fahami juga berkenaan dengan adab-adab di dalam berzikir. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh dua imam tadi iaitu:

1 – Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan dengan secara individu (bukan secara berjama'ah/koir).

2 – Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan, cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya. Apatah lagi dengan berlagu, maka itu jelas-jelas telah salah.

3 – Boleh dikeraskan bacaan sekiranya bertujuan untuk mengajar dan memberi bimbingan kepada orang lain yang mahu memperlajarinya.

Kesimpulan dari kenyataan Imam asy-Syafi'e dan Imam an-Nawawi ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang menyentuh berkenaan adab-adab di dalam berzikir secara umumnya:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

Terjemahan: Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. (Surah al-A'raaf, 7: 205)

Berkenaan ayat ini, seorang lagi ulama besar dalam bidang tafsir yang bermazhab Syafi'e menjelaskan:

وهكذا يستحب أن يكون الذكر لا يكون نداء ولا جهرًا بليغًا

Terjemahan: Demikianlah zikir dianjurkan, iaitu dengan suara yang tidak dikeraskan dan tidak dinyaringkan. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur'anil Adzim, 3/539)

Perkara ini menjadi lebih jelas apabila kita merujuk kepada sebuah hadis, di mana Sahabat bernama Abu Musa al-'Asy'ari menceritakan:

رفع الناس أصواتهم بالدعاء في بعض الأسفار، فقال لهم النبي صلى الله عليه وسلم: "أيها الناس، أربعوا على أنفسكم، فإنكم لا تدعون أصمَّ ولا غائبًا؛ إن الذي تدعونه سميع قريب

Terjemahan: Ketika itu, orang ramai mengeraskan (memperkuatkan) suaranya di dalam berdoa di ketika melakukan safar (perjalanan), maka Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun berkata (membantah perbuatan mereka yang mengeraskan suara dalam berdoa):

Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu sebenarnya tidak menyeru kepada yang tuli (pekak) dan yang jauh, sesungguhnya Dzat yang kamu seru adalah Maha Mendengar lagi sangat dekat. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur'anil Adzim, 3/539)

Jika ini dapat kita fahami, jelaslah bahawa rata-rata masyarakat negara kita yang mengaku bermazhab Syafi'e sebenarnya telah membelakangkan perkataan Imam-imam besar mereka. Khususnya dalam persoalan berzikir selepas solat yang saya sentuh ini.

Maka wajarlah kita semua secara umumnya untuk bermuhasabah dan memperbaiki semula amalan kita dalam melaksanakan zikir setelah selesai solat (selepas salam). Saranan ini saya tujukan kepada diri saya sendiri khususnya, kemudian kepada golongan Wahhabi jika benar sebagaimana yang dinyatakan oleh Dato' Dr. Mashitah, dan juga kepada masyarakat awam umat Islam di negara kita am-nya yang begitu ketara melanggari garis panduan di dalam berzikir sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para imam besar mazhab kita.

Ada pun persoalan-persoalan lainnya yang dibangkitkan oleh Dato' Dr. Mashitah berkenaan fahaman Wahhabi seperti tidak berqunut subuh, tidak bertahlil, dan tidak beryasinan malam Juma'at, maka telah lama saya sentuh di dalam blog fiqh saya. Para pembaca bolehlah merujuk ke sana.

Sebenarnya, persoalan yang diutarakan oleh Dato' Dr. Mashitah tersebut adalah merujuk kepada perbezaan pendapat yang telah lama berlaku, jauh sebelum datangnya era istilah Wahhabi diperkenalkan. Jika kita berusaha untuk bersusah-payah menela'ah, insyaAllah kita pasti akan mampu bertemu dan memahaminya...

Wallahu a'lam...

Kamis, 03 September 2009

Kongsiraya…

Kongsiraya…

http://an-nawawi.blogspot.com

Kongsi kuih di hari raya tidak mengapa. Kongsi duit pun tidak apa. Kongsi kereta nak balik berhari raya di kampung pun lagi lah elok.

Tapi, jangan pulak raya pun kita nak kongsi. Sampai tak cukup dengan dua hari raya yang diberi. Nak turut serta orang lain punya raya pula...

Mentang-mentang la si Ah Chong dan Ramasamy tu selalu ucapkan selamat di hari raya kita, kita pulak nak ucapkan selamat dan tahniah kat hari perayaan mereka. Kerana rasa termakan budi, kita pun selamba "wish":

Wah! You punya raya banyak bagus la. Banyak orang kasi itu ang paw. Ada itu tarian singa, sangat menarik, I sangat suka. Tahniah, tahniah...

Ini tahun, apa tahun? Ada banyak ong tak? Kalau tahun babi banyak ong tak? I lahir dalam tahun babi la...

Atau,

Selamat berpesta cahaya. Semoga hidup anda terus disinari cahaya dewa dewi.

Atau,

Hallooo Ah Chong, Hallooo Ramasamy, hari ini kami datang adalah untuk meraikan kegembiraan bersama-sama kamu. Kita kan satu hati, satu jiwa. Kita rakyat Malaysia...

Dalam tidak sedar, rupanya kita telah ucap selamat dan bagus kepada orang yang sedang melakukan sebesar-besar keburukan, iaitu syirik.

Rabu, 02 September 2009

Merintis Perubahan Dengan Demokrasi Telus

Merintis Perubahan Dengan Demokrasi Telus

http://an-nawawi.blogspot.com

Ada seseorang bertanya melalui sms:

Tidak bolehkah kita menyertai pilihanra raya sistem demokrasi?

Reply:

Tak perlu turut serta.

Tanya lagi:

Bukankah melalui pilihanraya, kita boleh mengubah atau menukar kedudukan para pemimpin yang tidak layak dan melakukan kezaliman? Dan ia merupakan salah satu cara terbaik pada masa ini untuk mengubah keadaan yang tidak Islamic kepada keadaan yang lebih Islamic?

Reply:

Mereka yang masuk pilihanraya sistem demokrasi, mereka lebih cepat berubah sebelum sempat mereka mengubah. Sedikit pun mereka tidak mengubah kepada apa yang sepatutnya. Tetapi, rupa-rupanya merekalah yang diubah!

Selasa, 03 Maret 2009

Sebuah Lagu Untuk Tuhan?

Sebuah Lagu Untuk Tuhan?

http://an-nawawi.blogspot.com/

“Tuhan… Dosaku menggunung tinggi

Tapi taubatku tak ku tepati…

Tuhan… Rahmatmu melangit luas…

Namun sedikit ku bersyukur…

Kini ku kembali pada-Mu

Mengharap maghfirah dari-Mu


Moga kan terampunlah dosa-dosaku…”

Begitulah sebuah alunan nasyid (muzik kontemporari) yang diadun dengan lirik doa, tiba-tiba menerpa ke dasar telinga aku. Aku pun menoleh ke sebelah kanan meja kerjaku. Lalu aku melihat Zam sedang asyik memilih-milih lagu (mp3) untuk disusunkan di dalam susunan pemain mp3 laptopnya. Sambil sebuah lagu telah mula dimainkan.

Aku pun segera menyapa beliau,

“Zam, dah tau dosa tu “menggunung tinggi”, kenapa duk asyik menyanyi lagi?”

“Pegi lah buat solat taubat ke, istighfar ke...”

Zam pun terkejut dah melihat ke arah ku sambil tersenyum. Dia sedar aku sedang memerli lagu yang sedang dimainkannya.

Aku pun bertanya, “Lagu yang kau mainkan tu tajuk dia apa? Siapa yang menyanyikannya?”

Zam pun segera melihat kembali senarai susunan lagu pada paparan winampnya dan kemudian menoleh ke arahku semula,

“Emmm, lagu kumpulan Haikal, tajuk dia Epilog Silam…”

“Rilexlah Nawi…”

Dia pun tersengih-sengih. Kerana dia tahu, aku anti dengan muzik, apatah lagi nasyid.

Di antara sebabnya kenapa aku anti dan agak rigid di dalam persoalan muzik adalah kerana, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah mengisyaratkan dengan hadisnya yang bermaksud:

“Akan ada dari umatku, kaum yang menghalalkan zina dan sutera, khamr (minuman keras) dan alat-alat muzik....” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5590)

Dan di dalam tafsir Ibnu Katsir (tafsiran ayat 6 Surah Luqman) turut menjelaskan perkataan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu yang menyatakan bahawa nyanyi-nyanyian adalah termasuk perkataan yang tidak berguna.

Sebagaimana yang dimaklumi oleh mereka yang berilmu, bahawa Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu adalah salah seorang tokoh ulama tafsir dari kalangan sahabat, malah beliau turut mendapat doa dari Nabi yang mengkhusus di dalam bidang penafsiran al-Qur’an.

Malah telah menjadi kesepakatan dari kalangan ulama salaf (terdahulu) yang menjelaskan betapa bahayanya muzik dan akan keharamannya. Malah mereka sangat berhati-hati terhadap apa jua bentuk nyanyi-nyanyian, sehingga ada dari kalangan mereka yang menolak kesaksian penyanyi dalam soal periwayatan hadis. Di antara mereka yang bersikap dengan demikian adalah imam asy-Syafi’i dan imam al-Bukhari.

Kembali kepada rangkap lagu di atas, jika kita benar-benar merujuk kepada rangkap demi rangkap lagu tersebut, kita pasti akan dapat melihat bahawa ia menjurus kepada bentuk doa kepada Allah. Dengan itu, wajarkah kita berdoa iaitu menujukan permintaan kepada Allah dengan iringan alat-alat muzik dan sambil menyanyi?

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri telah menjelaskan di dalam al-Qur’an sebagaimana berikut (maksudnya):

“Dan sebutlah nama Tuhanmu (berdoa dan berzikir) dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf, 7: 205)

Dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut menjelaskan melalui sebuah hadis yang sahih di dalam ash-Shahihain (maksudnya):

“Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu tidaklah menyeru yang pekak dan yang jauh, sesungguhnya Zat yang kamu seru adalah Maha Mendengar lagi sangat dekat.”

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada di dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Demikianlah halnya, betapa menunjukkan muzik sudah mendarah lalu menjadi gumpalan daging di dalam tubuh-tubuh umat Islam. Sehingga ibadah-ibadah mereka juga turut diterapkan dengan element-element muzik.

Tidak hairanlah sekiranya ada yang dulunya tampil berpakaian seumpama seorang ustaz yang sering mengeluh di dalam lagunya “sepi tanpa cintamu” kini sudah menjadi superman, terbang ligat di pentas populariti seorang pemuzik.

Jika dulu siapa yang tidak kenal “seorang ustaz” berpenampilan lebai yang aktif berceramah mengkritik orang itu dan orang ini sambil giat melagukan (menyanyikan) zikir-zikir “versi baru”. Kini juga telah hangat namanya di pentas populariti berstatus seorang penyanyi.

Wallahu a’lam... mungkinkah telah tiba zamannya sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Akan ada dari umatku, kaum yang menghalalkan zina dan sutera, khamr (minuman keras) dan alat-alat muzik....” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5590)

Demikianlah beberapa hakikat. Memperlihatkan kepada kita fenomena muzik yang mendarah dan mendaging. Kini ia terus merambat menjadi kanser, memalingkan dan menghalang-halangi manusia dari menuju ke jalan agama yang sebenar.

Senin, 15 Desember 2008

Cilok Ke Syurga???

Cilok Ke Syurga???

http://an-nawawi.blogspot.com

Kira-kira jam 11 malam lebih pada hari Sabtu yang lalu, aku dan seorang kawan melalui jalan Tun Razak yang penuh sesak. Aku memandu dan kawanku dibonceng di belakang.

Dengan kesesakan yang sebegitu, kami hanya mampu menaiki motorsikal dengan kadar laju yang perlahan. Dengan penuh berhati-hati, kami sambil bersembang melihat suasana yang penuh kesibukan.

Dalam kesesakan dan kesibukan tersebut, secara tiba-tiba sekumpulan penunggang motorsikal dengan bunyi motor yang betul-betul membingitkan melintasi kami. Mungkin ada dalam jumlah motor hampir tujuh buah. Mereka memandu dengan penuh berbahaya, laju, dan baik punya cilok. Mencelah ke kanan dan ke kiri di tengah-tengah kesibukan dan kesesakan dengan gaya tersendiri.

Aku katakan pada kawan aku di belakang,

“Fuuhh! Hebat betul diorang punya style ni. Dalam keadaan macam ni pun masih boleh bawak macam tu punya hebat. Laju pulak tu. Cilok sana sini, mencelah kanan kiri... konfiden (yakin) betul laa. Memang berani tahap tak ingat la diorang nih.”

Dengan selamba kawan aku di belakang menjawab,

“Tak pe wei, mat-mat rempit ni nama-nama diorang tu dah terpahat kat pintu Syurga. Kalau apa-apa jadi pun, diorang dah tak perlu risau dah...”

Aku pun tergelak dengan tiba-tiba bila mendengarkan jawaban spontan tersebut.

Kalau dulu para Sahabat-sahabat Nabi mengejar Syahid (mati) di medan perang (Jihad). Tetapi, kini anak-anak muda remaja kita mengejar mati di jalan raya...

Sabtu, 13 Desember 2008

Jom Keluar (Khuruj) 3 Hari???

Jom Keluar (Khuruj) 3 Hari???

http://an-nawawi.blogspot.com

Beberapa bulan yang lalu, saya pernah diajak oleh beberapa orang sahabat untuk supaya keluar tiga (3) hari. Dengan tujuannya adalah untuk belajar agama, memperkuatkan keimanan dan meningkatkan amalan. Di samping itu, katanya kita akan dapat berjumpa dengan alim ulama yang datang dari pelbagai tempat.

Sahabat-sahabat saya ini memang kerap keluar ke tempat-tempat tertentu atas tujuan tersebut sebagaimana yang mereka maklumkan. Mereka kebiasaannya akan keluar sekurang-kurangnya 1 atau 2 hari bagi yang baru berjinak-jinak dengan kumpulan ini.

Pernah saya di-ajak,

“Nawi, jom lah kita cuba keluar. Enta cuba sehari je dulu, tengok macam mana nanti.”

“Kalau tak dapat sekarang, sekurang-kurangnya enta tanamkan azam dulu untuk keluar satu hari atau tiga hari. InsyaAllah, Allah akan bagi kelapangan kepada enta.”

“Seperti sahabat-sahabat yang lain ada yang sudah biasa keluar 3 hari. Dan untuk cuti akan datang ni mereka semua berazam untuk keluar empat puluh (40) hari.”

“Malah ada sahabat-sahabat kita yang telah pun keluar sehingga tiga atau empat bulan ke negara-negara lain seperti India, Pakistan, Bangladesh, dan Australia untuk berdakwah. Dengan jalan keluar seperti inilah kita berupaya untuk melihat semula jalan dakwah para Nabi. Kita dapat berusaha menambahkan iman dan meningkatkan amalan. Mengajak sahabat-sahabat kita yang lain untuk mengikut jejak Nabi dan sahabat-sahabatnya. Kita ikut cara Nabi.”

Saya hanya mampu berkata kepada mereka,

“Saya memang mahu keluar lebih jauh lagi. Tetapi, memandangkan sudah tujuh tahun saya keluar meninggalkan kampung halaman sehingga ke Arau Perlis selama tiga tahun, dan sekarang sudah di Shah Alam selama empat tahun, saya kira saya mahu pulang menetap di kampung halaman semula bersama-sama keluarga tersayang. Kerana, amat-amat jarang sekali saya pulang ke kampung halaman sejak tujuh tahun kebelakangan ini. Alhamdulillah, selama tujuh tahun saya keluar, banyak perkara dapat saya pelajari selain dari perkara akademik. Banyak jalan yang Allah tunjuk kepada saya dan telah saya lalui (termasuk bersama kelompok Tabligh). Biarlah jika saya mahu keluar lagi, dengan berbekalkan ilmu dari dalil-dalil dan kefahaman yang jelas.”

Saya pernah katakan kepada mereka,

“Apakata kita keluar bersama-sama sahabat-sahabat saya yang lain untuk mengikuti pelbagai jenis kelas pengajian agama berkaitan Aqidah, fiqh, hadis dan seumpamanya. Tidak lama, sebentar saja, hanya mengambil satu jam atau dua jam dalam seminggu. Atau mungkin kita letakkan sehari dalam seminggu atau sebulan untuk pergi ke kuliah-kuliah hadis atau seumpamanya. Kita boleh buka kitab-kitab Mazhab Syafi’i, kita hadis al-Bukhari, juga kitab-kitab lainnya seperti kitab sirah.”

Namun, sedikit sekali yang mahu mengikutinya dari kalangan mereka. Kerana mungkin, mereka hanya mahu keluar dengan berpandukan cara-cara yang telah kelompok-kelompok mereka garis dan tetapkan sahaja.

Wallahu a’alam, sekadar sedikit catatan berhadapan dengan mereka yang berfikrah Tabligh.

Selasa, 21 Oktober 2008

Wajah-Wajah Agama 1 - Sebuah Revolusi Atau Evolusi?

Wajah-Wajah Agama 1 - Sebuah Revolusi Atau Evolusi?
http://an-nawawi.blogspot.com/

Hari ini aku baru sahaja terdengar dua buah lagu, di mana begitu mengusik jiwaku untuk berfikiran kritis dan mengkritik. Aku menoleh, rupanya ia dari sebuah klip video.

Sungguh tak ku sangka di masa ini sudah ada kaedah baru lagi moden untuk memohon ampunan kepada Tuhan. Sungguh kretif sekali, iaitulah dengan melagukan kalimah istighfar atau kalimah taubat. Lebih mengesankan apabila ia turut diiringi dengan muzik-muzik kontemporari yang antaranya dengan petikan gitar dan paluan drum ala-ala lagu balada romantik. Lebih menarik, dia si penyanyi adalah seorang wanita tidak bertudung dengan rambut mengurai. Diadun dengan gerak lenggok seorang wanita sudah tentunya.

Mungkinkah dengan berbuat begitu, mereka menyangka Tuhannya akan terhibur dan berasa sayu terhadap rayuan hambanya? Mungkinkah ada extra value (ganjaran tambahan) bakal diperolehi berdasarkan adunan tambahan yang dilakukan pada zikirnya?

Kalau dulu, kita mungkin pernah mendengar lagu "Alhamdulillah" yang dinyanyikan oleh Yasin & kumpulan Too Phat yang ala-ala hip hop. Mungkin itu adalah di antara revolusi manusia dalam melaksanakan ibadah zikirnya kepada Tuhan. Memuji Tuhannya dengan melaungkan kalimah hamdalah beriringan muzik hip hop ditambah dengan iringan joget tari bernama rap. Wahh, semakin jauh kini manusia ber-evolusi dalam agamanya.

Kalau dulu mungkin kaum kristian (Nashara) yang melagukan ayat-ayat biblenya di gereja-gereja mereka (juga sehingga sekarang). Namun, tak ku sangka, umat Islam zaman ini pun sudah mula mengorak langkah seperti mereka.

Haruskah aku mengerti, sampai manakah lagi mereka akan terus berevolusi. Rupa mana lagikah yang mereka mahukan? Tidak cukupkah dengan apa yang dibawakan Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam kepada kita semua yang berupa al-Qur'an & as-Sunnah. Malah telah siap dengan tafsirnya, iaitu atas kefahaman para sahabat-sahabatnya Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam yang diredhai. Susahkah? Mengapa mahu begitu bijak mendahului utusan Allah sendiri dan para sahabat-sahabatnya?

Minggu, 28 September 2008

Buat Semua (Di Hari Raya)

Buat Semua, mari kita bertakbir membesarkan (Mengagungkan) Allah di hari raya,

Sebulan telah kita berpuasa. Bulan Ramadhan pun kini melabuhkan tirainya. Tiba pula masa untuk berhari raya (‘Eid al-Fitri). Waktu untuk kita bertakbir membesarkan dan mengangungkan Allah selaras dengan Sunnah Nabi-Nya yang mulia.


اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا

Atau

أَللهُ أَكْبَر ، اَللهُ أَكْبَر ، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ ، واَللهُ أكْبَر ، اَللهُ أَكْبَر ولِلهِ الْحَمْدُ

Atau

اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ, اللهُ أَكْبَرُ وَ أَخَلُّ, اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا

--------------------@@@--------------------
“Hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya (puasa Ramadhan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, mudah-mudahan kamu mahu bersyukur”. (Surah al-Baqarah, 2: 185)
--------------------@@@--------------------

Dari saya,

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
(Semoga Allah menerima amal-amal dari kita semua)

Dan “Semoga Allah memberikan balasan kebaikan buat anda”.

Daripada,
Nawawi Subandi
Atsar Ent. & Blog an-Nawawi.

Takbir & Ucapan ‘Eid al-Fitri, boleh dirujuk di sini,
1 - http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/09/031-berhari-raya-menurut-sunnah-takbir.html
2 - http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/09/035-berhari-raya-menurut-sunnah-ucapan.html

Hari Raya & Seribu Macam Kekalutan?

Hari Raya & Seribu Macam Kekalutan?

http://an-nawawi.blogspot.com

Kenapa bila tiba hari raya je, mesti sibuk kita nak minta maaf? Sampaikan dengan orang yang kita tidak kenal pun kita kena “minta maaf zahir & batin”?

Kenapa hari raya ini sampai dikhususkan dengan perbuatan bermaaf-maafan. Kenapa tidak di hari atau bulan yang lain? Di waktu yang lain?

Sampai ada yang berkata, “Kalau aku buat salah dengan dia pun, alaa... nanti hari raya, aku datang rumah dia minta maaflah.”

Waah! Mana dalilnya?

Sepatutnya, bukankah kalau kita ada melakukan kesilapan je terhadap seseorang, maka kita dituntut agar menyegerakan memohon maaf! Kenapa perlu tunggu hari raya?

Peliknya “orang kita” ni...

Yang keduanya, kenapa ketika tiba 1 syawal je, berebut-rebut orang pergi menziarahi kuburan? Nak tahu juga saya di mana dalilnya yang “men-sunnahkan” amalan tersebut tsabit dari seruan Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wa Sallam...

Kenapa tidak hari lain? Kenapa juga mesti kuburan yang dilawat itu adalah kuburan ahli keluarga kita? Ada atau tidak dalilnya? Kenapa mesti ketika di hari raya? Suatu yang sunnah ke untuk berhari raya di kuburan?

Lagi, lagi, lagi... kenapa bila datang kuburan je mesti kita bacakan al-Qur’an atau ber-Yasinan atau bertahlilan? Mana dalilnya ya...

Aku berfikir, macam manalah, orang-orang yang mati karam di lautan dan hilang di rimba tanpa ditemui mayatnya? Kasihannya mereka tidak mendapat bacaan al-Qur’an di kuburannya setiap pagi raya. Tiada orang yang mentahlilkannya.

Apakata kita lihat semula apa Nabi kata,

“Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata: Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Janganlah kamu jadikan kuburku tempat berhari raya”.” (Hadis Riwayat Ahmad & Abu Daud)

Maka, dua perkara inilah yang merupakan sebahagian dari kepelbagaian kekeliruan yang sering berlaku di dalam masyarakat kita.

Ini termasuklah kekalutan demi kekarutan yang lainnya seperti amalan marhaban, bara’an (popular di kalangan orang-orang jawa di Selangor & Johor), amalan melakukan rombongan/berarak bertakbir dari rumah ke rumah di ketika malam raya secara berjama'ah dengan dipandu oleh seorang imam/tekong dalam bertakbir, amalan memberikan duit raya, amalan memasang lampu raya dengan niat meraikan malam tujuh likur serta mencahayakan kehadiran syawal, dan juga amalan bernyanyian malah sehingga ada lagu-lagu khusus sempena hari raya. Bukan setakat lagu, ditambah juga dengan aktiviti berjogetan dan maksiat di antara kaum wanita dengan lelaki melalui acara tayangan filem, pesta tarian, lakonan, dan seumpamanya.

Berkenaan amalan-amalan ini sebenarnya ada sebahagiannya menyentuh persoalan aqidah yang menceduk amalan kaum Syi'ah dan sufi yang sesat (merujuk kepada kandungan marhaban/berzanji yang dibacakan), menyerupai amalan masyarakat Hindu dalam perayaan Deepavali-nya yang meraikannya dengan "Pesta Cahaya" iaitu dengan memasang lampu-lampu pelita malah mungkin termasuk kepada mengangungkan api daripada iktiqad kaum Majusi, manakala amalan duit raya pula kini seakan-akan menjadi suatu kewajiban yang mana niat kanak-kanak berkunjung ke setiap rumah sudah terarah untuk mengumpul sebanyak mungkin duit raya.

Ini tidak lain sebenarnya telah melalaikan dari maksud dan tujuan sebenarnya kita berhari raya yang mana untuk membesarkan dan mengangungkan Allah.

“Hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya (puasa Ramadhan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, mudah-mudahan kamu mahu bersyukur”. (Surah al-Baqarah, 2: 185)

Tetapi diakibatkan kecelaruan, tokok-tambah, dan kejahilan tersebut, maka ia lantas menjadikan suasana hari raya berubah kepada hari menyekutukan Allah dan hari untuk merobek as-Sunnah yang suci dan mulia! Yang sepatutnya menjadi Syi'ar agama di hari tersebut semakin dilupakan dan terabai. Tetapi, tokok tambah yang jauh dari cahaya syari'at pula semakin diperjuangkan. Na'uzubillah...

Tatakala Ustaznya Menjadi Nabi/Rasul

Tatakala Ustaznya Menjadi Nabi/Rasul

http://an-nawawi.blogspot.com

Akhir-akhir ini, seringkali aku bertemu dengan insan-insan tertentu lalu berbicarakan sesuatu. Jika sebelumnya, aku lebih pendiam. Tapi, kini aku kurang lagi bersifat seperti itu.

Aku lebih gemar untuk memulakan bicara apabila ketemu dengan sesiapa sahaja.

Ketika mahu bersolat pun aku berani untuk membuka bicara dengan jama’ah/makmum yang bersebelahan. Aku mengatakan, “Abang, rapatkan lagi saf kita ni. Kita sentuhkan dan rapatkan kaki kita. Jangan biarkan celah antara kita ni kosong.”

Begitulah antara script yang aku mulakan dalam bicara.

Setelah habis solat, abang tu kata, “Kenapa nak rapat-rapat? Tak selesa lah.”

Aku katakan, ada hadis nabi yang memerintahkan kita supaya berbuat begitu. Lalu abang tu pun berkata, “Emm, kalau macam tu, kenapa ustaz-ustaz tak de yang pernah cakap pun hal ni? Saya banyak kali juga solat bersebelahan dengan ustaz-ustaz, tapi diorang tak kata apa pun?”

Aku menjawab, “Emm, kita dalam beragama ni kena ikut Nabi abang. Bukan ikut ustaz. Ustaz tu ada kala tahu, ada kala tak tahu juga. Biasalah abang, kita sama-sama manusia kan... Dia juga bukannya nabi kan? Oh, ye. Kalau abang berminat nak tahu hal ni dengan lebih lanjut, nanti esok kita boleh jumpa lagi, nanti saya bawakkan fakta-fakta tentang saf ni.”

Abang tersebut menganggukkan kepala dan mengucapkan terima kasih.

Begitulah yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita. Tatkala berlaku sesuatu perselisihan dan perbezaan dalam soal agama sahaja, mereka akan mendakwa-dakwi dengan “Eh! Ustaz aku kata macam ni.”

Walaupun kita kata, “Ini ada hadis nabi saudara dalam persoalan ini”, “Tapi kan saudara, Nabi kata bukan macam tu, Nabi kata, macam ni...”

Mereka tetap juga berkata, “Maaflah, saya lebih yakin dengan ustaz yang saya telah belajar dengannya.”

Saya juga bertanya, “Ada dalilnya tak?”

Mereka lantas terdiam, kemudian mengatakan, “Mestilah ada, takkan ustaz saya tak tahu...”

Sungguh mengejutkan, rupa-rupanya sudah ramai nabi-nabi baru yang dilahirkan zaman ini yang mewarisi sifat kemaksuman dan pembawa syari’at yang baru!

Maka, renung-renunglah ayat Allah ini (maksudnya),

“Apa yang diberikan Rasul (Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam) kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)

Senin, 14 Juli 2008

Ketika Pertama Kali Membuka Kitab “Ringkasan Shahih al-Bukhari”

Ketika Pertama Kali Membuka Kitab “Ringkasan Shahih al-Bukhari”

http://an-nawawi.blogspot.com

Pengalaman kira-kira sekitar lima tahun yang lalu, bagi aku agak menggelikan hati dan membuatkan aku sentiasa tersenyum mengingatkannya.

Iaitu ketika mana pertama kali aku membuka, membelek-belek, dan mula membaca isi kandungan sebuah kitab yang dikatakan sebagai sebuah kitab sumber agama kedua terpenting selepas al-Qur’an. Dengan berbantukan sebuah semangat mahukan ilmu dalam beragama, aku usahakan memiliki sebuah kitab hadis yang merupakan sebuah kitab ringkasan dari salah satu kitab hadis terkemuka. Iaitu kitab Shahih al-Bukhari yang telah diringkaskan susunan Imam az-Zabidi, terbitan Crescent News (KL) SDN. BHD.

Sungguh membuatkan aku pelik dan sedikit runsing apabila membaca beberapa hadis di dalamnya yang kebanyakannya bercanggah dengan kefahaman aku dan amalan masyarakat sekelilingku. Pada ketika itu, aku sempat memulakan dengan melangkah kepada topic-topic tertentu dari kitab tersebut sekitar Kitab Solat dan Thaharah.

Mana tidaknya, suatu yang di luar kebiasaan aku, tetapi ada di dalam kitab Shahih tersebut. Sungguh pelik, kenapa doa qunut bukan hanya saja boleh dibaca di dalam solat subuh. Tetapi juga di dalam solat-solat fardhu yang lain, malah mana-mana solat fardhu. Malah, lafaz doa-doanya agak keras nadanya dengan mendoakan laknat buat sesuatu golongan... Hatiku berbisik, “Kenapa macam ini ye...?”

Aiii, dalam keadaan luka-luka berdarah pun boleh menunaikan solat? Tak najis ke? Mana boleh solat dalam keadaan ada najis?

Emmm, mengapa boleh juga membaca surah di dalam solat bukan terhad kepada rakaat pertama dan kedua sahaja ke? Malah rupa-rupanya membaca surah di rakaat ketiga dan keempat juga ada contohnya... “peliknya aku rasakan...”

Agak terkejut, bahawa tersebut di dalam kitab al-Bukhari tersebut bahawa bolehnya bergerak-gerak dan berjalan di dalam solat seperti untuk mendukung anak, menghalang orang yang melintasi semasa solat, mengawal pergerakan keldai ketika solat, juga yang seumpama dengannya. Sedangkan apa yang aku fahami sebelum ni, mana boleh gerak-gerak ikut suka hati. Kalau boleh pun, dalam gerakan yang kecil dan tak lebih tiga kali...

Begitulah beberapa perkara yang aku terbaca darinya, membuatkan aku begitu sukar menerima bahawa ia adalah suatu yang benar adanya. Sehinggakan ia menjadikan aku berprasangka, “benarkah kitab ini???”.

Begitulah beberapa perkara yang agak merunsingkan aku ketika pertama kali mula cuba memahami hadis-hadis yang telah direkodkan/dibukukan oleh Imam al-Bukhari. Sehinggakan atas sebab kejahilan dan prasangka yang tidak menyenangkan, aku meninggalkannya selama hampir satu tahun begitu sahaja kitab tersebut tanpa aku buka. Semuanya atas kerana kepelikan yang aku rasai daripada kitab tersebut lantaran beberapa kandungannya yang kontra dengan amalan semasa.

Namun, akhirnya aku diberikan kefahaman yang aku bersyukur dengannya. Dan dengan kefahaman tersebut aku kembali membukanya naskhah demi naskhah. Yang mana, kebenaran dalam beragama itu bukanlah diasaskan berdasarkan adat kebiasaan yang aku lihat selalu dari masyarakatku mengamalkannya. Tetapi, kebenaran itu adalah kembali kepada Kitabullah dan sunnah-sunnah Rasulullah yang sahih walau ia dianggap begitu pelik dan aneh bagi mereka yang tidak dan belum memahami... (Wallahu a’lam...)

Nawawi Subandi,
07:20, 14/07/2008,
Bandaraya Anggerik (Shah Alam).

Kamis, 12 Juni 2008

Pandanglah Mereka Dengan Tauhid

Pandanglah Mereka Dengan Tauhid

http://an-nawawi.blogspot.com

Semalam kira-kira jam 18:45 petang mengikut angka telefon tangan-ku - aku sampai di ruang letak kenderaan rumahku di Shah Alam setelah seminggu di kampung. Sebaik sampai dan keluar dari tempat letak kereta/motorsikal, aku diam sebentar di suatu sudut tiang kaki lima melepaskan penat jauhnya perjalanan. Lebih 15 minit aku mengambil masa duduk termenung bersambilan melihat keadaan sekeliling sebelum berganjak menuju masuk ke rumah. Rasa keletihan yang amat sangat membuatkan aku mengambil keputusan mudah berehat sebentar sebelum terus masuk. Di sinilah aku melepaskan pandangan ke beberapa kawasan sekitar.

Di suatu ruang, aku terlihatkan tiga individu wanita yang sedang berbual-bual dalam bahasa yang tidak aku fahami, tapi masih dapat aku kenali sebagai salah satu bahasa kaum India (Tamil). Dari susuk tubuhnya kelihatan begitu tua dan kelihatannya mereka berbual sambil duduk berderetan bersama-sama. Dari raut wajahnya yang dapat aku cam-kan, kelihatan memang mereka betul-betul di usia yang tua. Dari cara dan gaya gerakan tangannya yang sedikit longlai juga secara tidak langsung menggambarkan kepadaku betapa menandakan lewatnya usia mereka. Lemahnya sudah upaya mereka. Suaranya juga agak kesurupan tidak sehebat orang muda.

Dengan raut wajah tua yang tampak dengan beberapa lekuk cengkung di pipi serta kedutan kulit dahi dan tangan, tiba-tiba ia membuatkan hatiku begitu sayu dan tersentuh. Apakah nanti wanita yang bergelar nenek itu bakal menghadapi ancaman keras di alam satu lagi yang bakal menyusul? Apakah mereka bakal dihadapkan dengan pelbagai siksaan dasyat lagi mengerikan dari Tuhan yang empunya semesta alam?

Secara umumnya (tanpa menujukan kepada mereka), itulah yang bakal diterima oleh kaum yang tidak berpegang dengan kalimat Tauhid yang haq sebagaimana yang telah dijanjikan melalui kalam al-Qur’an dan lisan nabi terakhir bernama Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam juga nabi-nabi sebelumnya.

Terdetik di hatiku terpancar sebuah perasaan kasihan untuk menyampaikan apa yang haq di atas landasan hidup yang benar. Namun, aku bukanlah jua seorang insan yang begitu kuat untuk melaksanakan semua itu walau mampu berbicara dengan bahasa yang saling difahami. Juga bukanlah seorang insan yang tabah berupaya mengorak langkah mendekati mereka dengan langkah dakwah mengajak mereka kepada yang haq.

Sekali lagi, aku tumpahkan perasaan tersebut di atas lembaran maya ini agar dapat sama-sama direnungkan oleh para pembaca. Sebagaimana juga catatan tulisanku sebelumnya. Mungkin ada cara yang mampu diusulkan buatku sebagai suatu alternatif kemudiannya.

Selain cara tersebut, apa yang aku mampu lakukan adalah sekadar berakhlak baik dengan mereka. Mungkin salah satu usaha yang tersangat kecil untuk diperkirakan. Namun, contoh itulah yang semampunya dari diriku. Antara lain mungkin dengan bertegur-sapa apabila melintasi mereka di mana-mana atau seandainya kebetulan berselisih jalan dengan mereka. Mengungkap kata “apa khabar makcik?” dan yang sewaktu dengan kalimat tersebut, yang mana ku rasakan salah satu ungkapan yang sesuai menunjukkan pekerti sebagai seorang insan. Juga menjawab pertanyaan mereka dengan sebaik-nya seandai di-aju dan diminta pertolongan.

Jauh di sudut hati, sentiasa terpahat dan penuh harap agar kelak mereka sempat mengenali kalimah yang benar itu. Jauh di lubuk jiwa ini meminta semoga mereka terbuka hati untuk sebuah kebenaran hakiki dan pintu hidayah sentiasa dibukakan untuk mereka masuki.

Aku juga berdoa semoga munculnya insan-insan yang di atas jalan kebenaran dengan akhlak-akhlak sunnah yang penuh prihatin untuk mendekati orang-orang seperti mereka. Semoga hiba dan sayu hatiku mampu terubat dan berasa sedikit tenang. Semoga aku juga mampu untuk melakukan dakwah buat insan-insan seperti mereka. Itulah sebahagian dakwah yang besar iaitu dengan mengajak kepada Islam.

.... Sambil berjalan menuju ke pintu rumahku, melenyapkan pandangan dari mereka bertiga, beberapa ayat al-Qur’an menerpa menggantikan pandangan sebelumnya ...

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, 60: 8)

“...Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa serta bersuku-puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujuraat, 49: 13)

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali Imran, 3: 159)

“Ajaklah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah an-Nahl, 16: 125)

Kamis, 22 Mei 2008

Perbaikilah Solat-Solat Kita

Perbaikilah Solat-Solat Kita

http://an-nawawi.blogspot.com

Kira-kira petang tadi ketika pergi menunaikan solat asar di sebuah masjid, sebelum solat asar berjama’ah dilaksanakan dan sebaik selepas solat sunnah tahiyatul masjid, aku duduk sebentar sambil melihat-lihat sekitar dalam masjid.

Aku melihatlah beberapa individu yang sedang menunaikan solat sunnah. Aku merasakan sesuatu yang tidak kena kepada beberapa individu tersebut. Angkat tangan hendak takbir pun seakan-akan malas dan tidak disempurnakan dengan kerelaan. Susah sangat ke? Hatiku berbicara sendiri. “Mungkin baru belajar solat agaknya..” aku meredakan prasangka.

Tapi, hatiku terus berkata-kata... Nak bersedekap ketika qiyam pun seakan-akan nak tak nak sahaja. Tangan kanan tidak digenggamkan dengan sebaik-baiknya pada tangan kirinya. Dan ketika sujudnya pula, hidungnya tidak mencecah ke lantai. Tangannya pula dihamparkan begitu sahaja dari jari hingga ke siku menyentuh lantai ketika sujudnya. Hatiku berasa tidak tenang, dan terasa mahu sahaja menegurnya. Tetapi, mengenangkan beberapa situasi lepas yang aku hadapi, membuatkan aku berfikir beberapa kali untuk menegur. Di mana aku seringkali dikatakan “busy body” dan tidak mengikuti serta memahami permasalahan setempat.

Pernah suatu ketika dahulu hendak aku menegur, “Tak pe lah dik, pak cik dah biasa solat macam ni, lebih selesa.” Ada yang lain, “Betulkanlah solat kamu tu dulu.”

Lebih membuatku senyum, “Tapi, solat ni abang belajar kat sekolah dulu memang macam ni, mana boleh salah. Rasanya adik perlu cek balik gi sekolah.”

Tapi, ada yang membuatkan hatiku tesentak suatu ketika dulu adalah apabila ada seseorang datang meneguku, “Brader, kenapa you solat jari gerak-gerak? You wahhabi ke?” Tapi, bila teringat semula, ia menjadikan aku ketawa sendiri.

Berkenaan menegur orang solat di tempat awam, di tempat yang orang tidak mengenali kita, rasanya se-akan-akan lebih mudah. Berbanding di tempat orang yang mengenali kita. Namun, bagiku, ia tetap sama-sama tak mudah. Kerana sebahagian orang ni sangat sensitif dengan teguran. Walaupun adakalanya ditegur dengan baik, ada sebahagian mereka memiliki ego yang tidak mahu tunduk. Sedaya-upaya, pelbagai falsafah dan teori dibentuk. Tapi, aku suka kepada sebahagian orang yang lebih mudah untuk berbincang dan berbual bertukar pendapat. Ia menjadikan siatuasi kelihatan lebih mesra. Berbanding orang yang sensistif, tidak boleh menerima kesilapan sendiri, agak sukar untuk memperbaiki kesalahan mereka. Nak menyapa pun fikir banyak kali.

Sedangkan di sana ada beberapa hadis berkaitan dengan pesoalan solat tersebut,

Daripada Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Aku diperintahkan untuk bersujud di atas tujuh tulang (iaitu) di atas dahi (beliau turut mengisyaratkan tangannya ke hidung), dua tangan, dua lutut, dan jari-jari kaki.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan, no. 812)

Dari al-Barra’ bin ‘Azib radhiyallahu ‘anhu, “Jika kamu bersujud, letakkanlah kedua telapak tanganmu (ke lantai) dan angkatlah kedua siku kalian.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab ash-Solah, no. 494)

Dalam Riwayat lain, dari Anas radhiyallahu ‘anhu, “Janganlah seseorang di antara kalian menghamparkan kedua tangannya seperti anjing meletakkan (tangannya).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan, no. 493)

Akhirnya setelah beberapa kali menimbangkannya, aku mengambil keputusan untuk tidak menegurnya dahulu. Mungkin biarlah aku dahulu menunjukkan contoh. Dan seperti biasa, jari jemariku yang hanya mampu berbicara dengan menekan papan kekunci komputerku. Lalu hasilnya aku hamparkannya di blog peribadi ku ini dengan harapan pengalaman ini dapat dikongsikan bersama ke seluruh alam maya dan mereka yang memahami bahasa jari-jemariku.

Pengalaman ku ketika petang tersebut tidak sahaja berkisar tentang soalnya solat beberapa individu tadi. Tetapi juga tatakala mahu menunaikan solat berjama’ah. Selepas iqamah dikumandangkan, imam pun segera tampil ke hadapan dengan berkata “rapatkan saf”. Beberapa saat mengambil masa, imam membaca surah an-Naas, ta’awuzd, lalu membacakan lafaz niat, dan segera bertakbir. Untuk makluman mereka yang menatap tulisanku ini, bacaan-bacaan imam tersebut bukanlah suatu sunnah yang tsabit. Sekadar memberitahu, mungkin sama-sama boleh kita bersikap terbuka dan mengkaji. Sebenarnya, aku terasa agak pelik ketika itu, imam langsung tidak memandang ke belakang memerhatikan barisan saf-saf makmumnya. Sedangkan barisan saf tersebut sungguh tunggang langgang berdasarkan pemerhatianku.

Dengan keadaan barisan yang tidak rapat, aku cuba mengambil langkah untuk mengajak beberapa individu yang bersebelahan dengan ku untuk merapatkan saf dengan merapatkan kaki dan bahu, namun mereka seakan-akan pelik dan kembali merenggangkannya semula. Aku pun pasrah, lalu segera bertakbir mengikut imam dalam keadaan yang sedikit kecewa.

Mengapa agaknya fenomena sebegitu kerap kali berlaku hampir di setiap masjid dan surau yang aku kunjungi. Ke manakah peranan para imam, para ajk masjid, para ustaz, dan para makmum atau indvidu yang melaksanakan solat itu sendiri? Apakah mereka menganggap persoalan solat adalah suatu persoalan yang remeh-temeh? Cukup sekadar “asal solat cukuplah...” Ataukah mungkin ada suatu bentuk kefahaman solat yang lain yang aku tidak memahaminya. Dari ajaran manakah ia? Jadi, berikanlah kepada ku sumber-sumbernya.

Owh... Pening juga adakalanya...

Sebenarnya, bagi mereka yang memahami, persoalan solat adalah suatu persoalan yang tersangat-sangat besar. Malah, kedudukan solat adalah setelah mengucapnya dua kalimah syahadah di dalam rukun Islam. Malah ia merupakan salah satu lambang terbesar sebagai seorang yang beriman,

“Islam itu ditegakkan atas lima (5) perkara; mengakui bahawa tiada ilah yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, no. 7)

Di dalam al-Qur’an Allah subhanahu wa Ta’ala menyatakan (maksudnya),

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam solatnya...” (Surah al-Mukminun, 23: 1-2)

Malah sebagai seorang yang beriman, yang mengerti betapa besarnya erti solat tersebut kepada dirinya, dia pasti akan mendidik dirinya agar melaksanakannya dengan sesempurna mungkin. Lalu mengajar dan mendidik ahli keluarganya untuk turut sama melaksakannya dengan sebaik mungkin.

“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya.” (Surah Thoha, 20: 132)

“Perintahkanlah anak-anak kamu untuk melaksanakan solat ketika mereka berusia tujuh (7) tahun. Pukullah mereka kerana tidak melaksanakan solat ketika berusia sepuluh (10) tahun...” (Disahihkan oleh Sheikh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghaliil, 1/266)

Dan solat yang terbaik dan tersahih lagi yang sebenarnya adalah, solat yang dilaksanakan berdasarkan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Ini adalah sebagaimana yang dipesankan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri,

“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan, no. 604)

Tidak lain, untuk mengetahui tatacara solatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah dengan merujuk dan taat kepada hadis-hadis yang beliau nyatakan.

Ia bermulalah dari soalnya thoharah, wudhu’, soalnya pakaian, persoalan tempat solat, tatacara solat bermula dari takbirnya sehinggalah kepada salamnya, dan sehinggalah kepada sesudahnya salam yang termasuk amalan-amalan sunnahnya.

Perkara-perkara inilah yang kini semakin diabaikan dan dilupakan oleh para individu Muslim. Mengapa jika persoalan tugas di pejabat mampu dilaksanakan dengan bertungkus lumus, tetapi soalnya solat ditinggalkan keutamaannya. Mengapa soalnya pengajian dan pendidikan sains, kejuruteraan, pembinaan bangunan, kajian DNA, analisa kewangan, dan pelbagai lagi boleh dilakukan dengan penuh teliti namun solatnya terabai dan umpama tidak diberi makanan yang cukup bagi membolehkan terbinanya jasad yag sihat.

Begitulah solat. Ia dilakukan dengan ilmu dan kefahaman bagi membolehkan ia dibina dan dilaksanakan dengan penuh bermaya dan syi’ar-syi’ar agama terpancar daripadanya.

Malah, ia sebenarnya menjadi titik mula kepada pekerjaan dan perlakasanaan aktiviti yang lain. Ia merintis sebuah disiplin yang sebenar sebagai seorang mukmin yang taat dan komited terhadap setiap tugasan yang diterimanya.

“Dasar segala urusan adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, manakala puncaknya adalah jihad.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Dihasankan oleh Sheikh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghaliil, 2/138)

Ia melambangkan betapa kesungguhan seseorang tehadap amanah yang dipegangnya. Ia melaksanakannya dengan sebaik-baiknya. Ia melakukan dengan penuh kesabaran dalam apa jua keadaannya.

“Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’.” (Surah al-Baqarah, 2: 45)

Namun, sungguh dikesalkan pada hari ini, lambang dan syi’ar-syi’ar ini mula ditinggalkan. Mereka menjadikan hal-hal yang lain pula sebagai syi’ar dan melupakan keutamaan yang sebenar. Meletakkan priority pada kedudukan yang terkemudian. Susunan mula menjadi terbalik. Malah mungkin menjadi tunggang langgang. Seseorang dipandang baik tidak lagi pada prinsip-prinsip agamanya. Tidak penting lagi persoalan solatnya, tetapi pekerjaannya sebagai seorang jurutera, doktor, pakar ekonomi, pakar tari, pakar musik, dan seumpamanya. Solat bukan lagi soal utama. Entah duduk di ranking ke berapa agaknya... Kenapa mind-set kita berputar sejauh itu?

Di sebahagian sudut dan kelompok, sungguh lebih dikesalkan, perjuangan jihad tanpa ketahuan pula dikehadapan melampaui segala-galanya. Sehinggakan hal keimanan dan solat menjadi kelam tidak disuarakan. Hal ini mungkin berlaku kepada kelompok yang memiliki semangat keterlampauan, namun tidak dibina atas dasar ilmu. Semangat berkobar-kobar, namun kefahaman terhadap agama sangat mengecewakan. Sewajarnya persoalan solat ini diperbaiki dengan sungguh-sungguh. Kerana, setiap hal yang besar dalam agama itu, bermula dengan dasar aqidah serta solatnya. Jika persoalan yang lebih dasar gagal diperbaiki, bagaimana pula hendak memperbaiki persoalan yang lebih rumit?

Kita lihat di masjid-masjid hari ini, ada pelbagai ragam dan gaya orang menunaikan solatnya. Ada yang tangannya tidak disedekapkan, ada yang kakinya dirapatkan, ada yang kakinya dikangkangkan melebihi kewajaran, ada yang takbirnya berulang-ulang kali untuk melaksakan solatnya, dan ada yang solat jama’ahnya hanya sekadar datang ke masjid namun ruhnya tiada. Mengapa ruhnya tiada? Tidak lain, kerana ianya tidak dibina atas dasar kefahaman yang tepat. Saf-saf solatnya juga tidak dijaga. Imamnya tidak mengambil endah soal makmumnya di belakang.

Ini yang datang ke masjid. Belum dikirakan mereka yang tidak mahu ke masjid. Dan sebahagian mereka yang langsung tidak menunaikan solat. Atau apakah mungkin mereka yang tidak mahu ke masjid akibat soalnya solat di masjid sudah menjadi tidak ketahuan kaedahnya? Manakala mereka yang tidak menunaikan solat adalah lantaran solat sudah tidak ada arahnya dan sumbernya yang benar perlaksanaannya. Tiada keseragaman, yang mengakibatkan mereka hilang keyakinan untuk melaksanakannya. Mereka menanyakan, apakah standardize perlaksanaan solat? Apakah cukup sekadar mulut menyatakan “kita ikut Mazhab Syafi’i”?

Ketahuilah bahawa perkara yang pertama-tama sekali dihisab bagi kita adalah persoalan solat. Ini dapat difahami dari hadis nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berikut,

“Amalan yang pertama kali ditanyakan kepada seorang hamba pada hari Kiamat kelak adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka dia telah beruntung, dan jika solatnya rosak, maka dia telah gagal dan rugi.” (Sahih menurut Sheikh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahaadis ash-Shahihah, 3/346)

Malah, ikatan dan simpulan Islam itu dinyatakan jika ianya mula terlerai, maka ianya akan terlerai satu demi satu dari individu atau masyarakat mukmin bermula dari hukum-hakamnya yang tertentu sehinggalah kepada yang terakhir sekali adalah solatnya. Apakah kita mahu lagi memandang enteng persoalan solat? Setelah banyak sekali persoalan yang lainnya kita merasakan sebagai berat dan seringkali terlepas begitu sahaja. Fahamilah bahawa solat adalah ikatan yang menjadi benteng dan syi’ar terakhir kita.

“Ikatan-ikatan Islam itu akan terlepas seikat demi seikat. Setiap kali ikatan itu terlepas maka mereka akan berpegang kepada ikatan yang berikutnya. Dan yang pertama sekali terlepas (ikatannya) adalah hukum-hakam, manakala yang terakhir sekali terlepas adalah solat.” (Dinilai sahih oleh Sheikh al-Albani di dalam Shahih at-Targhiib wa at-Tarhiib, 1/229)

Jadi, jika solat pun telah kita pandang remeh, ikatan apa lagi yng mahu kita pegang kemudiannya? Tanyakan lah pada pendirian dan kegfahaman masing-masing.

Dengan itu, marilah kita kembali membina kekuatan yang semakin rapuh tersebut dengan kembali melihat dan memperbaiki solat-solat kita berdasarkan sumber-sumber yang benar. Sehinggalah kita melaksanakannya sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam melasanakannya. Mengerjakannya dengan penuh semangat, khusyu’ dan tenang yang terbina atas landasan ilmu pengetahuan yang benar. Tidak lain, ia dibina berdasarkan hadis-hadis yang sahih lagi diyakini.

Kita kembali melaksanakan solat dengan sebaik-baiknya. Menegakkan syi’ar-syi’ar agama bermula dari dasar dan landasan yang betul. Melaksanakannya berdasarkan hadis-hadis yang sahih. Bermula dari wudhu’nya sehinggalah kepada takbir sampailah kepada akhir salamnya. Semuanya didasari hadis-hadis yang benar. Kita terapkan serta praktikkan kefahaman dan ilmu tersebut ke dalam diri masing-masing, sehinggalah kepada ahli keluarga.

Kemudian, kita melaksanakannya di masjid-masjid atau di surau-surau secara berjama’ah. Di surau dan masjid pula, para imamnya tahu tanggungjawab mereka masing-masing. Saf-saf solat kembali menjadi rapat dan teguh barisannya. Ia terbina dengan rapat, tersusun, kemas, dan betul sekaligus mencerminkan betapa teguhnya hati-hati mereka dalam kesatuan dengan disiplinnya.

Sebagaimana pentingnya saf-saf solat ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memberi tahukan kepada kita melalui hadis yang tidak kurang banyaknya yang antaranya,

“Luruskanlah saf, rapatkanlah bahu-bahu, rapatkanlah ruang-ruang (antara kamu), lembutkanlah ketika menyentuh tangan-tangan saudara kalian, dan janganlah kamu membiarkan celah-celah terbuka untuk syaitan. Barang siapa menyambung saf maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa memutuskan saf maka Allah akan memutuskannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, Kitab ash-Solah, no. 666. Disahihkan oleh Sheikh al-Albani dailam Shahih Sunan Abi Daud, 1/197)

Dari Nu’man, bin Bashir, Rasulullah menyatakan (dengan mengahadap kami, ketika hendak solat) “Luruskanlah saf-saf kamu, luruskanlah saf-saf kamu, luruskanlah saf-saf kamu, Demi Allah, kamu akan meluruskan saf-saf kamu atau Allah akan menjadikan hati-hati kamu saling berselisih”. Aku melihat bahu saling bersentuhan, lutut dengan lutut teman sebelahnya saling bersentuhan, dan mata kaki dengan mata kaki teman sebelahnya turut bersentuhan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab ash-Solah, no. 662)

Malahan di sebahagian hadis-hadis yang lain dengan jelas dinyatakan bahawa Rasulullah dan para sahabat yang lain selepasnya, sekali-kali solat berjama'ah tidak akan dimulakan selagi mana saf tidak dirapatkan. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya merapikan saf di dalam perlaksanaan solat berjama'ah.

Betapa hebatnya jika disiplin ini kembali terlaksana di setiap surau-surau dan masjid-masjid sekitar kita. Ia akan jelas menggambarkan kepada kita betapa hebatnya disiplin, kesatuan dan kecintaan kita sesama sendiri.

Bagi mereaslisasikan situasi tersebut, apa yang paling utama dan terpenting adalah dengan kembalinya kita semua kepada manhaj ilmu. Cari dan dapatkanlah sumber-sumber rujukan, buku-buku atau kitab-kitab yang sahih yang mampu menerangkan persoalan agama berdasarkan hadis-hadis yang sahih lagi jelas. Tinggalkanlah pertikaian-pertiakain dan perbahasan-perbahasan yang membelakangkan nilai-nilai ilmiyah tanpa image intelektual. Semoga dengan sumber-sumber yang sahih ini akan mampu membentuk semula daya juang dan image agama yang segar sekaligus menyerlahkan ketulenan ber-agama yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam banyak pesanan-pesananannya iaitu dengan berpegang kepada al-Qur’an dan as-Sunnah.

Semoga luahan hati ku ini mampu dibaca oleh sesiapa sahaja, sekaligus merealisasikan impian ku untuk melihat syi’ar-syi’ar agama ini ditegakkan bermula dari dasarnya yang sebenar. Kerana, hanya dengan dasar yang betul, maka cabang-cabang yang lainnya akan menjadi betul. Ia tidak lain juga, dimulakan dengan prinsip-prinsip aqidah yang betul. Apabila pengambilan agama dilaksanakan dengan dasar yang betul. Apabila priroriti dan keutamaan dikenal pasti dan diperbaiki, insyaAllah, disiplin dan perjalanan cabang-cabang dan dahan-dahan yang menjalar seterusnya akan berupaya menghasilkan bunga serta buah yang terbaik.

10:00p.m
21-May-2008

Rabu, 21 Mei 2008

Dia Se-Akan Sang Rasionalis

Dia Se-Akan Sang Rasionalis

Di musim-musim konvokesyen UiTM ni... sungguh bertuah kerana dapat ketemu dengan sahabat-sahabat lama. Sama ada mereka terlibat secara rasmi dalam istiadat penyampaian sijil pengajian mereka atau pun datang sebagai pelawat yang menyertai ahli keluarga mereka yang menerima sijil. Aku yang masih setia tinggal di Shah Alam ini walaupun musim cuti semester sedang berlangsung adalah sekadar mengambil ketenangan berseorangan untuk menghabiskan seberapa banyak buku-buku yang aku beli sebelum ini.

Juga, mengambil peluang untuk menghadiri beberapa kuliah-kuliah pengajian fiqh, hadis dan tafsir di sekitar Shah Alam.

Semalam aku bertemu dengan salah seorang sahabat lamaku yang dulunya bersama di UiTM Arau sekitar empat tahun yang lalu. Entah bagaimana, tiba-tiba beliau mempersoalkan berkenaan sesuatu yang agak mengejutkan aku.

Tidak ku sangka, beliau memiliki fikrah yang agak rasionalis sekarang. Dari segi pertuturan dan pengetahuannya, aku dapat membayangkan dia adalah seorang pemikir yang hebat. Namun, mungkin ada suatu kekurangan dalam dirinya apabila dia mungkin kurang mengambil info Islam dari sumber ulama yang selayaknya.

Dia adalah seorang yang berpendidikan Islam dari zaman sekolah menengahnya. Dia seorang yang berfikrah agama yang juga sangat baik. Kerap kali menjadi imam ketika bersolat di surau kolej dulu. Kerap mengendalikan usrah dan mengajak sahabat-sahabatnya untuk mengenali Islam.

Tapi, adakah itu mungkin hanya tinggal kenangan?

Setelah, sejauh kira-kira 40 minit kami bersembang sekitar persoalan sahabat-sahabat lama yang lain dan arah tuju perjuangan dakwah yang dahulu. Dia tiba-tiba melontar satu persoalan yang bersungguh-sungguh seolah-olah mahu mengenakanku. Dahulunya, kami saling bersama dalam urusan usrah dan mengendalikan surau di kolej di kampus suatu ketika dahulu.

Aku berkata dalam hati, “Dia adalah seorang rasionalis!!!” Mungkinkah?

Apakah dengan menanyakan dan mempersoalkan berkenaan kekuasaan Allah, dia mampu menarik aku kepada pemikiran rasionalis yang dipegangnya sekarang? Yang dengan pemikiran itulah dia yakini dan banggakan ketika berbual denganku.

Apabila dia mempersoalkan berkenaan Kekuasaan Allah, aku menjawab, “Ya, Allah Maha berkuasa”. Dia bertanya dan bertanya, sehingga aku rasa seperti ada yang tidak kena, kerana persoalan itu semuanya seakan-akan soal yang remeh, namun kenapa dia bertanya seakan-akan orang yang tidak mengerti. Dia bertanya lagi, “Adakah Allah Maha pencipta?” Aku jawab, “Ya, Dia Maha Pencipta.”

Tiba-tiba dia melanjutkan persoalan, Jika begitu, mampukah Allah menciptakan Tuhan yang kedua? Mampukah Tuhan menciptakan sebuah batu yang Dia sendiri tidak mampu mengangkatnya? Sambil menunjukkan muka yang sinis, dia minta aku memberikan jawaban.

Aku menyatakan kepadanya, “Jika aku tidak tahu jawaban tersebut, apakah kau akan memberikan jawabannya kepadaku?”

Lantas dia menjawab, “Sebenarnya, dalam agama ini perlu ada sebahagian tempat yang perlu ditafsirkan semula dan diberi nafas yang moden sesuai dengan daya fikir golongan masyarakat zaman ini.”

“Maksudnya?” Aku kurang faham.

“Sebagai contoh, dalil-dalil yang kau utarakan berkenaan soal ketaatan kepada pemimpin tadi, sebenarnya dalil-dalil tersebut sudah tidak relevan untuk dipraktikkan di zaman ini dalam keadaan kita yang menggunakan sistem demokrasi berparlimen yang dengannya rakyat boleh menukar dan menjatuhkan pemimpin yang sedia ada yang tidak layak untuk terus memerintah.” Dia seakan-akan berhujjah.

Sebelumnya, memang kami ada berbual berkenaan perlunya wajib mentaati dan larangan mencaci pemerintah atas sebab dia menanyakan pendapat aku berkenaan pilihanraya.

Lalu dia meneruskannya, “Dalam keadaan sistem seperti yang kita amalkan hari ini juga, kita dibenarkan untuk mengkritik pemerintah sama ada secara terbuka atau melalui saluran-saluran yang telah diberi, iaitu melalui akhbar, internet, laman-laman web, juga ceramah-ceramah yang boleh kita adakan.”

Dia cuba menyokong hujjahnya dengan akal dan rasional, “Jika kita terus membiarkan golongan pemerintah yang sekarang berada di atas, maka sampai bila akan terus tertindas? Jika kita terus menjadi pemegang mazhab zahiri yang mengambil maksud hadis secara zahir, sampai bilakah kita akan mampu menegakkan Islam? Dalil-dalil taat kepada pemerintah itu semua tidak lebih hanya mampu menjadi penghalang kepada pejuang-pejuang agama yang ikhlas untuk mendidik masyarakat. Malahan menjadi lesen pula kepada pemerintah yang zalim untuk terus bertakhta.”

Dalam hatiku, hebat benar gaya pemikiran beliau sekarang. Sehingga sudah mampu memberi tafsiran yang baru terhadap dalil-dalil yang dimaksudkan.

Aku biarkan dia dengan bicaranya, lalu aku menghadiahkan card name aku. Lalu menyatakan kepadanya, silakan mengunjungi web blog yang tertera dalam card ku itu. Lalu aku menyatakan bahawa aku tidak punya banyak masa untuk duduk minum-minum dan melanjutkan perbualan, kerana ada urusan yang perlu dilaksanakan.

Dia mengizinkan aku pergi, dan dia terus melanjutkan perbualan dengan beberapa sahabat yang turut datang bersamanya dari awal tadi. Lalu aku pun beredar dari restoran tersebut dengan langkah yang sedikit kecewa dengan sikapnya yang jelas nampak berubah.

Sambil berjalan, aku teringatkan beberapa ayat al-Qur’an yang menyatakan berkenaan sifat-sifat Allah,

“Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana

“Tidaklah sesuatu musibah itu berlaku, melainkan dengan izin Allah

“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah dengan berkata: “Jadilah!” Maka terjadilah ia. Maka Maha Suci Allah yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”

“Dan mereka itu tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun, kecuali dengan izin Allah.”

Adalah sesuatu yang mustahil bahawa Allah memiliki seteru (rakan kongsi) dalam penciptaan bumi ini. Yang mana hal tersebut telah jelas di dalam al-Qur’an,

“Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) beserta-Nya, jika ada tuhan beserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu.” (al-Mukminuun, 23: 91)

Dan tidak akan berlaku sesuatu apa pun melainkan dengan izin-Nya dan kadar ketetapannya.

Maha Suci Allah, tidak-lah Allah itu bersifat bodoh dan tidak mengetahui. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana.

Ingatanku kepada beberapa dalil-dalil tersebut, serba sedikit melegakan hatiku.

Lalu aku beralih fikir kepada penafian dalil-dalil akan wajibnya mentaati pemerintah. Manakala, adalah bolehnya mencela dan membuka ‘aib para pemerintah mahupun penguasa negara sendiri dengan sesuka hati atas alasan mahu menegakkan Islam dan menjatuhkan pemerintah zalim. Ini semua adalah merupakan bentuk-bentuk pemikiran yang tidak mahu melihat dan berpijak kepada dalil yang sahih. Prinsip-prinsip para ulama agung dipinggirkan, lalu diangkatnya ustaz-ustaz jalanan sebagai rujukan.

Lalu jika demikianlah situasi dan tafsiran sang rasionalis, maka... akan berlakulah nanti, semua dalil-dalil al-Qur’an dan hadis itu tidak relevan lantaran ditafsirkan dengan nafsu dan akal-akal yang dangkal itu. Semuanya tidak lain, kerana terperangkap dengan fenomena semasa. Walhal, hati-hati mereka yang kering dengan ilmu warisan para ulama salafus soleh. Lalu segera mendabik dada, dalil itu dan ini perlu ditinggalkan dan menjadi mansuh lantaran bagi menyokong perjuangan Khawarij bermanhaj muktazilah!

Saya percaya, dia sendiri tidak mengerti apa itu muktazilah, apa itu khawarij. Lantaran tidak mengetahui, dia mungkin terjebak. Aku segera melenyapkan fikiran ku yang bukan-bukan lalu mempercepatkan langkahku, walau hati terasa kurang tenang.

Senin, 07 April 2008

Mengapa Perlu Rasa Pelik???

Mengapa Perlu Rasa Pelik???

Hari Sabtu lepas (05/04/2008) aku pergi ke Pesta Buku di PWTC, Kuala Lumpur. Sungguh penat sekali melakukan proses tinjauan kepada buku-buku yang dipamerkan. Mungkin kerana aku terpaksa ber-asak-asak dan berdiri lama membelek buku demi buku yang menarik perhatian ku.

Aku ke sana bersama seorang teman yang biasa ku temuinya dalam kuliah-kuliah pengajian agama di surau-surau mahupun di lokasi-lokasi pengajian tertentu sekitar Kuala Lumpur. Tidak ada yang pelik dan menghairankan tentang dirinya bagi ku. Hanya sedikit pelik apabila orang lain memandangnya seakan-akan seorang artis. Memandangnya tidak berkelip kepadanya. Apa yang dapat kulihat hanyalah dia berpakaian jubah saudi dan berkopiah serta mengenakan imamah di kepalanya. Mungkin itu yang menjadikannya agak pelik bagi sebahagian orang di sana. Wallahu a’lam. Bagi aku itu hanyalah perkara biasa, lebih pelik lagi kalau dia itu orangnya tidak berpakaian atau tidak cukup pakaian... namun, alhamdulillah, dia lengkap tutup berpakaian segak sekali. (Tersenyum...)

Sedikit petang di waktu asar, aku bertemukan seorang rakan blog yang kerap ber-utus sms kepadaku meminta aku mencadangkan beberapa buah kitab-kitab aqidah yang sesuai untuk dibaca sebagai permulaan untuk mengenali manhaj agama yang baik dan lebih tepat. Juga ingin mengenali serba sedikit persoalan manhaj salafi melalui beberapa bahan bacaan yang aku miliki. Lalu, seperti yang dijanjikan, aku memang membawakan untuknya beberapa buah kitab untuk dipinjamkan kepadanya. Setelah berbual sedikit, beliau mula bertanya, sama ada saya sudah solat asar atau belum? Saya menyatakan saya sudah menjamakkannya sekali bersama zuhur seawal waktu zuhur tadinya di masjid Kampung Baru. Entah mengapa tiba-tiba dia berkerut, lalu mengajukan soalan meminta kepastian adakah benar aku ini orang yang menetap di Shah Alam? Aku jawabkan dengan ringkas, “Ya”. Lalu dia bertanya lagi, kenapa aku menjamakkan solat? Saya kurang yakin, bagaimanakah seharusnya aku harus menjawab persoalannya... Lalu aku menokok sedikit info menyatakan bahawa sebenarnya aku bukan sahaja telah menjamakkan solat, tetapi telah juga meng-Qasarkan solat. Dia bertambah hairan. Lalu menyatakan, “Bukankah jamak dan Qasar itu sama sahaja dan hanya dilakukan ketika musafir yang jauh?” aku tersenyum... Aku pun sudah memahami salah faham yang dihadapinya. Lalu aku menerangkan satu persatu kepadanya bermula dari persoalan maksud Jamak dan maksud meng-Qasarkan solat yang mana aku menyatakan bahawa Jamak bukan specific untuk para musafir, tetapi orang yang sibuk dan menghadapi kesukaran juga boleh menjamakkan solat. Seterusnya aku menyatakan bahawa Qasar solat itu yang barulah specific sebagai sedekah/hadiah dari Allah kepada para musafir. Aku menerangkan sehinggalah ke seterusnya, namun dia masih kurang yakin, lalu aku menyatakan mungkin beliau masih belum menemui artikel berkenaan menjamakkan dan mengqasarkan solat di dalam blog fiqh-ku. Lalu dia berjanji akan membacanya bila pulang nanti. Aku hanya tersenyum. Dan dia kelihatan memang penuh minat ingin tahu kerana menyatakan yang dia berjanji akan membacanya dan menanyakan kepada ku jika tidak memahaminya. Aku sedikit gembira dengan tingkah dan semangatnya... (Kepada pembaca blog-ku yang berminat memahami persoalan ini, anda boleh terus ke dua (2) link ini:
http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/10/051-pencerahan-kepada-kekeliruan.html dan (&) http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/02/081-qasarkanlah-pendekkanlah-solatmu.html)

Tidak lama selepas menghabiskan perbualan sekitar cerita yang lain, kami pun mengucapkan beberapa kata akhir dan berpisah menuju haluan masing-masing... Aku pulang bersama sahabatku yang sering dipandang pelik tadi.

Sebelum itu, aku juga turut dipandang pelik apabila sebaik selesai solat di masjid kampung baru ada seorang abang berpakaian agak korporat dan formal siap bertali leher menegurku... “Kenapa you gerak-gerakkan jari ketika duduk tasyahud tadi?”... Aku pun segera tersenyum... lalu aku menjawab, “Kenapa abang tidak menggerak-gerakkannya?” Abang tu pun kelihatan seakan-akan tersentak dan berkerut dahi. Lalu meneruskan persoalan tanda hairan, “Kenapa pula perlu abang berbuat seperti itu, tidak pernah abang lihat sama sekali?” Lalu aku menceritakan kepada abang itu secara ringkas bahawa ada hadisnya yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. menggerak-gerakkan jarinya ketika tasyahhud. Ia difahami dari lafaz kalimah يُحَرِّكُهَا yang dinyatakan dalam beberapa buah hadis yang sahih. Juga saya menambah bahawa ia juga menjadi pegangan sebahagian besar ulama hadis dan fiqh terdahulu. Ia sebenarnya bukanlah suatu yang pelik. Lalu saya menghulurkan kad saya yang mana di situ tertera alamat blog saya berkenaan persoalan ini dengan harapan beliau dapat membacanya dan berjaya memahaminya dengan lebih baik lagi. Dia berterima kasih dan segera melihat-lihat kad tersebut dengan penuh minat. Aku yang tidak punya banyak masa ketika itu, segera memohon diri dan beliau menghulurkan tangan bersalaman dan sekali lagi berterima kasih. “Oh ye, kalau abang masih ada persoalan yang berkaitan, boleh juga hubungi saya melalui no. h/p yang ada di kad tersebut ok...” Lalu aku mengucapakan salam, lantas berlalu pergi dengan sedikit senyuman dan berpaling mendapatkan sahabatku yang sudah menunggu di scooter-nya. (Kepada pembaca blog-ku yang berminat memahami persoalan ini, anda boleh terus ke link ini:
http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/01/072-sunnah-menggerak-gerakkan-jari.html )

Dalam perjalanan balik, aku berfikir seorang membiarkan sahabatku di hadapan memandu scooternya dengan tenang.

Emmm, aku dilihat pelik rupanya hari ini.... Oh! Ye, aku hanya membeli sebuah novel di pesta buku tersebut... Ok laa...

Selasa, 25 Maret 2008

Persoalan Kesempurnaan Saf Solat Bukan Perkara Kecil!!!

Persoalan Kesempurnaan Saf Solat Bukan Perkara Kecil!!!

Dah lama aku tak menulis… juga sudah lama aku tidak menyusun artikel…

Mungkin kerana dihumban ke dalam jurang kesibukan yang pelbagai. Tidak harus aku rasa bersalah kerana aku sendiri-lah yang meletakkan posisi ku di sudut ini.

Akhirnya, setelah tempoh itu, ada sesuatu yang kembali menggerakkan hati aku untuk menulis dan menyusun sebuah artikel.

Ini adalah kerana suatu fenomena atau situasi yang membuatkan aku merasa begitu jengkel dan rimas sekali.

Perasaan itu timbul adalah setiap kali di mana aku menunaikan solat fardhu berjamaah di surau-surau kampus dan masjid-masjid di sekitar rumah sewa ku di seksyen 7.

Lantas kerana perasaan yang tidak senang itulah aku akhirnya dengan izin dari-Nya berjaya menyiapkan sebuah artikel berkenaan adab-adab dalam menyusun saf dalam solat berjamaah.

Sungguh membuatkan aku tidak senang di kala manusia kebanyakkannya menyeru supaya kita bersatu dengan Islam dan perjuangan Islam, namun rata-rata mereka itu semuanya tidak lebih hanya pandai berkata di bibir mereka. Habis suara-suara dilontar seakan mahu pecah anak-anak tekak mereka... Tapi, hakikat yang tersingkap di hadapan mataku, jauh sekali hasilnya dari apa yang dicanang-canangkan itu.

Bersilat di pentas pidato bukan main lagi bunga dan buahnya...

Tetapi, apabila bersolat... sikit pun tidak mahu ambil penting dalam kebanyakan situasi. Malah, apabila ada dari kalangan segolongan manusia yang ingin memperbetulkan mereka, pasti mereka akan digelar sebagai busy body, engkau bukan ustaz, dan paling menggelikan aku adalah, engkau adalah WAHHABI!.. Sungguh mengecewakan hatiku apabila aku menanyakan kepada mereka, “Apa itu Wahhabi”... mereka tidak mahu menjawab, dan aku pun beranggapan, bahawa mereka hanya tahu cakap tidak serupa bikin, ibarat orang sudah bersalah, tudung saji pun boleh diambil bagi tujuan menutup muka... itu kira baik lagi. Yang lebih menakutkan, bila dia ambil pemukul. Orang yang mahu menolong, akhirnya mendapat belantan.

Begitulah situasi aku saat ini. Mahu membantu menjernihkan keadaan, bertambah pula kekeruhan di hati ini. Aku bukan mahu mengkritik mereka, jauh pula mahu membawa mereka ke jalan yang salah... Sedangkan aku mahukan kebenaran yang selama ini mereka laung-laungkan mengajak kepadanya. Bukankah aku membawa hujjah dengan dalil dari Kitab yang satu dan hadis-hadis yang akurat dari sunnah Rasul-Nya. Mengapa aku diherdik? Jadi, di manakah hakikatnya landasan kebenaran yang sebenarnya ingin mereka bawa dan canang-canangkan itu?

Sedangkan hakikat solat itu adalah tiangnya agama bagi seseorang yang bergelar manusia muslim. Yang mana dasarnya adalah aqidah. Jika hadis yang sahih pun mereka tolak dan tidak mahu beriman dengannya, maka, bukan saja solat mereka menjadi kacau, bahkan lebih buruk sebenarnya mungkin aqidah mereka juga sudah kabur... Lantaran itu, solat pun sudah mereka tidak ambil endah...

Maka, lahirlah suatu fahaman “Janji Aku Solat”... mungkin juga ada yang lain beranggapan, masalah solat itu perkara khilaf, furu’ lagi cabang yang mana banyak perbezaan di dalamnya... lalu dengan selamba mereka menyatakan bahawa, yang utama sekarang adalah menyatukan manusia di bawah suatu panji bernama negara Islam dan khilafah!

Sungguh jelas! Bahawa pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang sudah kacau! Menjadikan khilafah dan negara Islam sebagai keutamaan. Sedangkan aqidah dan solat ditolak ketepi akan hakikat kesempurnaannya. Bahkan jika dirujuk kepada kitab suci kita, bahawa aqidah dan amalan ibadah yang betul itulah yang diberi janji oleh Rabb kita dengan kurniaan kuasa pemerintahan yang baik. Hal ini boleh sahaja dirujuk di dalam surah an-Nuur ayat 55. Bukan itu sahaja, mahu juga kutanyakan, apakah negara Islam dan sistem Khilafah itu sebagai syaratnya yang utama bagi manusia untuk ke syurga???

Hal yang membuatkan aku meluahkan kata kali ini adalah sekitar persoalan merapatkan saf ketika mana mahu bersolat dalam jamaah. Sungguh sedihnya, kebanyakan saf-saf solat para anggota jamaah kita saat ini tidak lagi dibina dengan susunan yang baik, sempurna, dan mungkin jauh sekali dari dibina atas dasar kefahaman yang sahih. Maka, terjadilah saf-saf tersebut agak berterabur dan tidak sekata. Apabila mahu dirapatkan dan diajak merapatkannya, mereka segera menjauh. Aku sudah naik bingung. Imam pula tidak pernah ambil endah walau sudah diberi maklum sebaik mungkin. Maka, atas hal itu juga lah, akhirnya aku siap menyusun artikel berkenaan kepentingan saf di dalam solat. Kalau kesatuan saf di dalam solat pun tidak boleh menjadi betul, apatah lagi kesatuan kita dalam beraqidah, bernegara dan paling utama dalam ber-agama. Wallahu a’lam.

Baiklah, aku juga sudah malas meneruskan tulisanku kali ini... mungkin kalian pun merasa jengkel nanti. Makanya, aku tinggalkan beberapa artikel yang sempat aku susun berkenaan kesempurnaan solat yang aku maksudkan, lalu kalian semua boleh merujuknya sendiri akan hakikat yang mana lebih benar dan Haq.

Sifat Solat Menurut Sunnah – [Artikel 1], [Artikel 2]

Saf solat – Kedudukan, Keutamaan, & Kewajibannya [Klik]

Adakah Menyapu Muka Selepas Solat & Berdoa [Klik]

Sekian dulu untuk kali ini,
0054, Selasa, 25 Mac 2008.
Nawawi, Bandaraya Anggerik, Shah Alam.